ماذا البككي؟
APA ITU AL-BAKAKY?

Kembali ke Muka Utama

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada laki-laki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan."
al-Hujurat:13
Assalamualaikum wa RahmatuLlahi wa Barakatuh
Salam sejahtera dan salam pengenalan.Semuga tali ukhuwah dan persahabatan akan dapat terjalin antara kita sesama manusia amnya dan sesama muslim khasnya. Sesungguhnya, dunia ini diciptakan Allah penuh dengan keindahan, maka hidup dalam aman damai adalah salah satu daripada keindahan itu.

Mengapakah laman ini dinamakan Laman al-Bakaky ? Tentu para pengunjung mempunyai pelbagai tanggapan dan persepsi atau pertanyaan. Sebenarnya, ia diambil sempena nama perpustakaan keluarga kami yang bernama Maktabah al-Bakakiah. Kami ambil masdarnya daripada kalimat بكة "Bakkatun" yang bermaksud "bersesak-sesak ia dengan dia" yakni bersesak-sesak dengan buku dan segala sumber ilmu. Asalnya Maktabah al-Bakkah. Kemudian berubah kepada Maktabah al-Bakkatiah, dan akhirnya kepada Maktabah al-Bakakiah. Nama itu kekal hingga kini. Untuk mengabadikan nama Pusat Sumber Keluarga Persendirian kami itulah kami namakan laman web ini Laman Web al-Bakaky. Ia satu evolusi dan tranformasi terminologi dari Bakkatun kepada Bakaky. Biar apa pun kata orang, nama itu sudah sebati dalam keluarga kami.
MAKTABAH AL-BAKAKIAH, Pusat Sumber Keluarga persendirian ditubuhkan pada tahun 1987, bermula dengan hanya sebuah rak buku, kini ia ditempatkan dalam sebuah bilik khas di kediaman kami yang berukuran 20 kaki X 15 kaki(l/k 6.6 m X 5 m). Ia menempatkan 7 buah rak yang menampung lebih 5000 koleksi buku, majalah, kertas kerja, keratan akhbar, bahan media dan manuskrip. Terdapat sebuah kitab yang disalin dengan tulisan tangan dan juga kitab yang dicetak di Bombay 100 tahun yang lalu. Selain itu ia juga menempatkan koleksi setem, sampul surat dan mata wang dari seluruh dunia.
Kembali ke Muka Utama